Isnin, 19 April 2010

Syarat dan Kelayakan untuk Menjadi Seorang Guru Mursyid yang boleh menerima Bai’ah Mengikut Imam Syah Waliyullah Al-Dahlawi
1. Mempunyai ilmu pengetahuan tentang kitab al-Quran dan Sunnah.

  • Bukanlah pencapaian ilmu yang terlalu tinggi, bahkan memadai dia telah belajar kitab tafsir al-Madarik (tafsir an-Nasafi) atau al-Jalalain atau kitab tafsir lain yang dipelajari secara benar dari alim ulama sehingga dia mengetahui maksud al-Quran itu. Dia juga perlu mempelajari dan mengetahui huraian ayat-ayat al-Quran yang anih (gharib), asbabun nuzul, bahasa Arab, huraian cerita-cerita dari al-Quran dan hal-hal yang berhubung dengan kisah itu.
  • Tentang Sunnah pula dia mestilah mempelajari dan memahami Sunnah itu dengan baik seperti mempelajari kitab al-Masabih ( Misykatul Masabih). Dia mestilah memahami maksud Hadis-Hadis itu serta huraian Hadis-Hadis yang anih dan ganjil (gharib), serta dapat menghuraikan kesamaran, kesulitan Hadis menurut pendapat ulama-ulama yang benar-benar memahaminya.
  • Dia tidaklah mesti meghafaz al-Quran atau mahir tentang hal-hal isnad Hadis.
  • Dia tidaklah dikehendaki terlalu mendalami ilmu-ilmu Usul dan Kalam serta cabang-cabang ilmu Feqah dan fatwa.
  • Walaubagaimanapun syarat di atas dapat dimaafkan andainya ada individu-individu yang pernah bersahabah dan mendampingi para ulamak yang muttaqin, berkhidmat serta beradab dengan mereka dalam satu tempoh masa yang agak panjang dan sentiasa pula menjaga dan mengambil berat tentang perkara halal dan haram serta sentiasa berpandu kepada kitabullah al-Quran dan Sunnah RasulNya.
2. Mempunyai sifat adil dan taqwa.
  • Untuk mencapai kedua-dua sifat ini, seseorang itu mestilah sentiasa menjauhi dosa-dosa besar dan tidak pula mengekali melakukan dosa-dosa kecil.
3. Mempunyai sifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada akhirat.
  • Sentiasa kekal melakukan amal taat yang dituntut oleh agama, sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dengan zikir-zikir yang terkenal lagi turun-temurun yang memang tersebut dalam Hadis-Hadis Sahih, dan yang paling utama hatinya hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah SWT dan sentiasa ingat dan sentiasa hadir kepada Allah atau mencapai maqam yaddasyt, sehingga ia menjadi sifat sifat yang sebati dengan dirinya.
4. Memiliki sifat sentiasa menyuruh dan mengajak kepada ma'ruf dan mencegah mungkar.
  • Sangat tegas fikiran, mempunyai pendapat sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai maruah dan kekuatan akal yang sempurna. Dengan adanya sifat ini, barulah segala apa yang dianjur dan dilarangnya akan dapat dipercayai dan boleh dipegang oleh orang lain.
5.Mestilah telah pernah bergaul, bersahabah dan berguru dengan syaikh-syaikh (guru kerohanian) dalam suatu tempoh masa yang agak panjang.
  • Dia mengambil atau meresapkan nur batin dan sakinah itu daripada guru kerohaniannya. Perkara seupama ini telah menjadi peraturan Allah SWT, dimana seseorang individu tidak akan mencapai kejayaan melainkan setelah dia melihat orang lain yang telah berjaya. Dalam hubungan ini, seseorang itu tidak akan mencapainya melainkan setelah bersahabah dengan para ulamak. Begitulah juga dalam bidang-bidang pekerjaan yang lain.

Peringatan!

Untuk menjadi pemimpin kerohanian, seseorang itu tidaklah disyaratkan:

  1. Zahirnya keramat atau perkara-perkara ajaib/pelik.
  2. Meninggalkan usaha dan ikhtiar.

Ini adalah kerana keramat dan perkara-perkara ajaib adalah kesan atau hasil mujahadah sahaja, bukanlah syarat untuk mencapai darjah kamal (kesempurnaan). Manakala meninggalkan usaha dan ikhtiar adalah bercanggah dengan syarak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan