Selasa, 27 April 2010

Kerja Utama Seorang Waris Nabi

Seseorang yang boleh dianggap "alim rabbani" yang merupakan waris para Nabi dan Rasul ialah mereka yang sentiasa menjaga beberapa perkara. Antaranya ialah:
1. Hendaklah sentiasa mengajar ilmu-ilmu tafsir al-Quran, Hadis, ilmu Feqah, ilmu Suluk, ilmu Aqaid berdasarkan al-Quran dan Hadis dan ilmu Nahu dan Sorof. Adalah tidak wajar bagi seorang alim rabbani menceburkan dirinya mengajar ilmu-ilmu Kalam, Mantiq dan falsafah.

2. Hendaklah sentiasa mengajar manusia cara-cara hendak suluk kepada Allah s.wt. Hendaklah dia berusaha mencari peluang atau masa yang tertentu untuk duduk menghadapi manusia sambil mencampakkan kepada mereka sakinah atau ketenangan batin.

3. Hendaklah sentiasa menjaga mereka itu dengan memberi nasihat.

4. Hendaklah sentiasa bersikap menyeru dan mengajak kepada ma'ruf dan mencegah mungkar.

5. Hendaklah sentiasa bersifat timbang rasa kepada faqir miskin dan para penuntut ilmu dengan sekadar yang mungkin.


...Petikan dari al-Qaul al-Jamil-Syahwaliyullah...

Isnin, 26 April 2010

Bagaimana Sahabah dan Tabi'in Menghasilkan Sakinah (Ketenangan Rohani)


  1. Sentiasa memelihara dan mengekalkan solat lima waktu, sentiasa bertasbih dan mensucikan Allah s.w.t. dalam bilik khalwat sambil memelihara syarat-syarat dimana hati mesti sentiasa pula ingat kepada Allah s.w.t.
  2. Sentiasa berada didalam taharah (suci) dan sentiasa ingat pula pada rosak dan binasa segala lazat-lazat duniawi. Sentiasalah pula ingatkan kepada balasan pahala yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang patuh serta taat dan betapa azab siksa kepada penderhaka-penderhaka. Maka dengan sebab itu hilanglah ingatan hatinya untuk menikmati lazat duniawi yang kotor dan rendah itu.
  3. Sentiasa membaca al-Quran sambil merenung, berfikir dan memerhatikan maksud-maksud ayat al-Quran itu. Selain daripada itu ialah suka mendengar syarahan atau nasihat-nasihat daripada pensyarah-pensyarah agama, suka mendengar pengajaran daripada hadis tentang mahsyar, tentang neraka dan syurga yang boleh melembutkan hati (Hadis yang bersangkut paut dengan akhirat atau ma'ad)
  • Ringkasnya para Sahabah dan Tabi'in sentiasa tekun melakukan perkara-perkara yang tersebut di atas dalam tempoh yang agak panjang. Maka lekatlah pada diri mereka suatu malakah yang baik dan rasa ketenangan diri (hening). Mereka ini sangat menjaganya sehingga ke akhir hayat mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pusaka Rasulullah s.a.w.

    Petikan daripada terjemahan kitab al-Qaul al-Jamil karangan Syah Waliyullah.

Isnin, 19 April 2010

Syarat dan Kelayakan untuk Menjadi Seorang Guru Mursyid yang boleh menerima Bai’ah Mengikut Imam Syah Waliyullah Al-Dahlawi
1. Mempunyai ilmu pengetahuan tentang kitab al-Quran dan Sunnah.

  • Bukanlah pencapaian ilmu yang terlalu tinggi, bahkan memadai dia telah belajar kitab tafsir al-Madarik (tafsir an-Nasafi) atau al-Jalalain atau kitab tafsir lain yang dipelajari secara benar dari alim ulama sehingga dia mengetahui maksud al-Quran itu. Dia juga perlu mempelajari dan mengetahui huraian ayat-ayat al-Quran yang anih (gharib), asbabun nuzul, bahasa Arab, huraian cerita-cerita dari al-Quran dan hal-hal yang berhubung dengan kisah itu.
  • Tentang Sunnah pula dia mestilah mempelajari dan memahami Sunnah itu dengan baik seperti mempelajari kitab al-Masabih ( Misykatul Masabih). Dia mestilah memahami maksud Hadis-Hadis itu serta huraian Hadis-Hadis yang anih dan ganjil (gharib), serta dapat menghuraikan kesamaran, kesulitan Hadis menurut pendapat ulama-ulama yang benar-benar memahaminya.
  • Dia tidaklah mesti meghafaz al-Quran atau mahir tentang hal-hal isnad Hadis.
  • Dia tidaklah dikehendaki terlalu mendalami ilmu-ilmu Usul dan Kalam serta cabang-cabang ilmu Feqah dan fatwa.
  • Walaubagaimanapun syarat di atas dapat dimaafkan andainya ada individu-individu yang pernah bersahabah dan mendampingi para ulamak yang muttaqin, berkhidmat serta beradab dengan mereka dalam satu tempoh masa yang agak panjang dan sentiasa pula menjaga dan mengambil berat tentang perkara halal dan haram serta sentiasa berpandu kepada kitabullah al-Quran dan Sunnah RasulNya.
2. Mempunyai sifat adil dan taqwa.
  • Untuk mencapai kedua-dua sifat ini, seseorang itu mestilah sentiasa menjauhi dosa-dosa besar dan tidak pula mengekali melakukan dosa-dosa kecil.
3. Mempunyai sifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada akhirat.
  • Sentiasa kekal melakukan amal taat yang dituntut oleh agama, sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dengan zikir-zikir yang terkenal lagi turun-temurun yang memang tersebut dalam Hadis-Hadis Sahih, dan yang paling utama hatinya hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah SWT dan sentiasa ingat dan sentiasa hadir kepada Allah atau mencapai maqam yaddasyt, sehingga ia menjadi sifat sifat yang sebati dengan dirinya.
4. Memiliki sifat sentiasa menyuruh dan mengajak kepada ma'ruf dan mencegah mungkar.
  • Sangat tegas fikiran, mempunyai pendapat sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai maruah dan kekuatan akal yang sempurna. Dengan adanya sifat ini, barulah segala apa yang dianjur dan dilarangnya akan dapat dipercayai dan boleh dipegang oleh orang lain.
5.Mestilah telah pernah bergaul, bersahabah dan berguru dengan syaikh-syaikh (guru kerohanian) dalam suatu tempoh masa yang agak panjang.
  • Dia mengambil atau meresapkan nur batin dan sakinah itu daripada guru kerohaniannya. Perkara seupama ini telah menjadi peraturan Allah SWT, dimana seseorang individu tidak akan mencapai kejayaan melainkan setelah dia melihat orang lain yang telah berjaya. Dalam hubungan ini, seseorang itu tidak akan mencapainya melainkan setelah bersahabah dengan para ulamak. Begitulah juga dalam bidang-bidang pekerjaan yang lain.

Peringatan!

Untuk menjadi pemimpin kerohanian, seseorang itu tidaklah disyaratkan:

  1. Zahirnya keramat atau perkara-perkara ajaib/pelik.
  2. Meninggalkan usaha dan ikhtiar.

Ini adalah kerana keramat dan perkara-perkara ajaib adalah kesan atau hasil mujahadah sahaja, bukanlah syarat untuk mencapai darjah kamal (kesempurnaan). Manakala meninggalkan usaha dan ikhtiar adalah bercanggah dengan syarak.


Khamis, 15 April 2010

Syarat-Syarat Menjadi Guru Mursyid

Hadrat Syeikh Hasyim Asy`ari menetapkan syarat-syarat guru tariqat (mursyid) seperti ungkapan di bawah ini :

ومن شرائط الشيخ ان يكون عالما بالاوامر الشرعية عاملا بهاواقفا على اداب الطريقة سالكا فيهاكاملا فى عرفان الحقيقة وواصلا اليهاومحرصا عن جميع ذلك

Artinya : “Diantara syarat guru tariqat adalah alim atas perintah-perintah syara`, mengamalkannya, tegak di atas adab-adab tariqat serta berjalan di dalamnya, sempurna pengetahuannya tentang hakikat dan sampai pada hakikat itu serta ikhlas dalam semua hal tersebut”.

Hadrat Syeikh juga mengutip ungkapan Imam Al-Junaidi RAH. Melalui ungkapannya

علمناهذا مقيد بالكتاب والسنة فمن لم يقرأ القران ولم يكتب الحديث ولم يجالس العلماء لايقتدى به فى هذا لشأن

Artinya : “Ilmu kita ini (tariqat) terikat oleh Al-Qur`an dan As-sunnah. Siapa saja yang belum belajar Al-Qur`an dan As-Sunnah dan tidak pula pernah duduk di depan para Ulama (untuk menuntut ilmu) orang tersebut tidak boleh diikuti di dalam tingkah laku tariqat ini”.

Di antara syarat syarat yang perlu ada bagi seseorang itu layak dipanggil mursyid:

1. Menguasai dan melaksanakan ilmu syariah sebagai tiang agama. Peribadinya tertakluk dengan hukum Allah SWT.

2. Hatinya terbuka kepada teguran dan kritikan

3. Ilmunya benar atau sahih (bukan ilmu sihir dsb)

4. Berkemahuan/hemah tinggi kerana hendak membina prestasi diri dan muridnya

5. Berpandangan jauh (umat Islam memandang jauh kerana adanya akhirat sebagai destinasi kita)

6. Dermawan (tidak sekalipun bakhil) walaupun keperluannya tinggal sehelai sepinggang.

7. Berbudi pekerti luhur

8. Kasih sayang terhadap semua manusia; tanpa rasa perkauman atau memandang bulu/diskriminasi

9. Zuhud (menolak kebendaan) dan hidup dengan amat sederhana

10. Tidak membesarkan diri dengan kehebatannya dan tidak memperlekehkan atau merendahkan ilmu yang ada pada guru,dan ulama lain.

11. Tidak melenting atau mengeluh ketika diuji

12. Amat perahsia (tidak mendedahkan keaiban atau kekurangan orang lain)

13. Hadir hatinya untuk Allah SWT semata

14. Kesan kesalihannya terpapar kepada usahanya (tanpa menunjukkan sesuatu yang luar biasa seperti karamah)

15. Tidak berharap kepada manusia (saperti minta gelaran atau pangkat dan bantuan keewangan)

16. Tidak mengambil peduli perkara remeh

17. Tidak buruk budi pekerti saperti mengumpat dan mengaibkan orang lain.

18. Bertindak berdasarkan ilmu dan tidak ikut perasaan dan hawa nafsu.

Panduan begini penting kerana tasauf merupakan disiplin yang amat tinggi dan banyak dugaannya. Ia memastikan agar kita itu tidak tersesat daripada landasan hingga terkeluar daripada sifat mukmin.

Peringatan ini diberikan oleh Abu Yazid al-Bustami yang maksudnya:

..Andai kau melihat orang yang kononnya diberi karamah itu dapat terbang, janganlah kau ikuti dia sehinggalah dia melaksanakan segala hukum-hukum Allah SWT...

(Rujukan: Kuliah Ustaz Hj Ali Hj Mohamad)

Sabtu, 10 April 2010

PENGAJIAN KITAB & AL-QURAN DI BANDAR DARULAMAN, JITRA


Jadual Kelas Pengajian 2010 Madrasah Daruzzikra, Jitra, Kedah Darul Aman
  • Sabtu mlm Ahad - selepas maghrib - 9.30 : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Hadis 40. Pelita Penuntut – Dewasa
  • Ahad mlm Isnin 9.00 mlm – 10.30 mlm: Bahasa Arab (Nahu, Sorof, Lughah Arabiah) – Dewasa
  • Isnin hingga Sabtu 5.30 – 6.15 ptg: Kelas Al-Quran (Qiraati, Tilawah & Fardhu Ain) – Pelajar sekolah rendah dan menengah
  • Kelas mengaji Al-Quran dewasa: masa mengikut pelajar dan kelapangan guru.
• Pendaftaran dibuka bila-bila masa
• Sila hubungi: HP: 019 9369972
email: halimmn@gmail.com


DARUZZIKRA, JITRA, KEDAH
KURSUS PENGAJIAN TERJEMAHAN DAN TAFSIRAN RINGKAS AL-QURAN

Kursus Pengajian Terjemahan dan Tafsiran Ringkas Al-Quran Ini Mengandungi Ciri-Ciri Berikut:

• Terjemahan berdasarkan kitab tafsir Pimpinan Al-Rahman terbitan Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan kitab terjemahan Al-Quran terbitan Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Indonesia.
• Rumusan dan kesimpulan yang dipetik dari kitab-kitab tafsir yang muktabar dalam bahasa Arab dan Urdu.
• Penekanan terhadap aspek hubungkait ayat dengan ayat dan surah dengan surah.
• Pendedahan bahasa Arab (ilmu nahu, sorof dan balaghah).
• Latihan pembacaan bertajwid.
• Merangkumi kesemua 114 surah Al-Quran yang dibuat secara berperingkat-peringkat.

Terbuka kepada semua yang berminat dan yang sanggup beristiqamah dalam mengikuti pengajian.
Sila hubungi Madrasah Daruzzikra 019 9369972 sekiranya anda berminat untuk menyertainya.