Isnin, 15 November 2010

SINOPSIS PROGRAM INTENSIF AL-QURAN DAN FARDHU AIN CUTI SEKOLAH 2010


























Objektif Program
  • Satu pengukuhan dan pemantapan terhadap pelajaran JQAF dan KAFA yang telah dilalui oleh pelajar sepanjang tahun.
  • satu peluang meningkatkan kemahiran tajwid dan hafazan surah-surah lazim dan penting.
  • melatih dan mendidik akhlak dan adab-adab yang murni.
Tentatif Program
9.00 - 9.10 pg. Perhimpunan ( Tazkirah/Motivasi/Nasyid Al-Asma'ul Husna)
9.00 - 10.40 pg. Halaqah Quran ( hafazan, tajwid, tilawah, qiraati )
10.40 - 11.00 pg . Rehat ( solat Dhuha, makan & minum )
11.00 - 12.30 tgh. Kelas Fardhu Ain ( Hadith, Jawi, Arab, muzakarah
adab-adab, hafazan bacaan dalam solat, wirid dan
doa-doa harian )

*Untuk pelajar perempuan
1) Sila bawa telekung
2) Jika uzur, hafazan al-Quran diganti dengan hafazan hadith dan doa-doa.

Selasa, 9 November 2010

IKLAN PENTING!















(gambar-gambar program pada 2008 di T.T.Maheran)

Program Intensif Al-Quran Dan Fardhu Ain

Cuti Sekolah 2011, Di Bandar Darulaman,

Jitra, Kedah


Pengisian:

  • Tajwid al-Quran
  • Hafazan surah-surah pilihan
  • Hafazan bacaan dalam solat dan wirid selepas solat
  • Hafazan doa-doa harian
  • Adab-adab harian
  • 40 hadis
  • Jawi/khat
  • Amali thoharah dan solat
  • Asas bahasa Arab
  • Tazkirah/Motivasi

Tarikh: 27 Nov. 2011 - 15 Dec. 2011

Hari: Ahad hingga Khamis

Masa: 9.00 pagi - 12.30 tengahari

Tempat: Pusat Pengajian Al-Quran Daruzzikra

No.6 Tingkat Atas, Lot 39, Bandar Darulaman,

Tanah Merah, 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.


Terbuka kepada semua pelajar yang berumur

7 - 14 tahun.


Pendaftaran: RM 30.00

Yuran: RM 120.00

Jumlah: RM 150.00


Alat tulis, minuman dan makanan ringan disediakan.

Pendaftaran dibuka sekarang sehingga 27/11/2011


SILA HUBUNGI: 019 9369972

SEGERA! TEMPAT TERHAD









Khamis, 28 Oktober 2010

Adab-Adab Belajar Ilmu Agama


(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)

Pendahuluan

Menuntut ilmu amat diutamakan di dalam kehidupan seseorang muslim.
Keutamaan belajar atau menuntut ilmu dalam Islam adalah lebih utama dari
sembahyang sunat. Imam Syafi’i r.a. berkata “menuntut ilmu itu lebih utama dari
sembahyang sunat.” Dalam perkembangan yang sama Abu Darda’ pula
diriwayatkan berkata “kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah
lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam. Orang alim dan
orang yang menuntut ilmu itu adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan.
Sementara orang-orang selain dari keduanya adalah sia-sia belaka, tiada berguna
sama sekali”.

Adapun ayat al-Quran yang berhubung dengan keutamaan belajar itu, di
antaranya ialah yang bermaksud “Mengapa tidak ada sekelompokpun dari setiap
golongan mereka itu, yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama.”
(at-Taubah: 122). Sementara itu dalam hal yang sama telah diperjelaskan oleh
Rasulullah S.A.W. mengenai kelebihan belajar melalui hadis-hadis berikut yang
bermaksud “Barang siapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan
maka Allah s.w.t. akan mendorongkan baginya jalan ke syurga.”; “Andaikata anda
berangkat untuk mempelajari suatu bab dari ilmu pengetahuan, adalah lebih utama
dari sembahyang seratus rakaat.”; dan “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas
setiap orang muslim.”

Ciri-Ciri dan Adab Pelajar
Dari perspektif Islam, seseorang pelajar atau murid harus mempunyai
beberapa ciri sebagai seorang pelajar. Ini penting agar ilmu yang hendak dicapai
bukan sahaja dapat difahami tetapi memperolehi keberkatan daripada Allah. Adab
juga penting untuk mewujudkan keharmonian hubungan antara pelajar dengan
pengajar. Hubungan yang baik di antara guru dengan pelajar bukan sahaja akan
mempercepat tetapi juga memudahkan proses penimbaan ilmu pengetahuan.

Menurut Ibn ‘Aqnin dalam Rosenthal (1992) sembilan syarat yang dituntut bagi
seorang pelajar muslim ialah:
(1) kesucian sifat;
(2) kesediaan untuk menanyakan
soalan, dan semangat yang kritis yang tidak menerima secara membuta segala apa
yang diajarkan, tetapi walaupun demikian mengakui akan kelebihan pengalaman
gurunya;
(3) tidak menghiraukan hal-hal kewangan dan keluarga;
(4) mahir dengan prinsip disiplin yang diberikan dahulu dan kemudian barulah
butir-butirnya supaya mampu menghadapi kesangsian dan perbezaan pendapat
sekalipun jika pada permulaannya, adalah lebih baik bagi pelajar menjauhkan diri daripadanya dan
mempercayai gurunya;
(5) ada sedikit kebiasaan dengan pelbagai perbezaan pendapat, kerana masing-masing
menjelaskan yang lain (seperti yang diajar dalam falsafah Aristotle);
(6) sentiasa merenung perhungan antara ilmu, amalan yang suci dan penghidupan;
(7) pengabdian diri yang sepenuh jiwa raga kepada ilmu tanpa motif luaran,
dari mana tidak ada kekurangan kemajuan dalam pelajaran-pelajarannya
yang akan melemahkan semangatnya;
(8) kesediaan untuk keluar mencari guru yang baik (berhubung dengan
pengembaraan Muslim dalam mencari ilmu); dan
(9) penghormatan yang besar kepada guru, hampir pada memuliakannya.

Adab-Adab Belajar

Berdasarkan ciri-ciri yang digariskan, maka dapat dinyatakan bahawa adab belajar mengikut perspektif Islam adalah seperti berikut:
1. Seseorang pelajar hendaklah mempunyai sifat-sifat mahmudah iaitu mensucikan hati lahiriah dan
batiniah daripada sifat-sifat yang tercela. Ilmu pengetahuan pula adalah ibadat
batin mendekatkan jiwa kepada Allah. Jadi untuk mengesahkan ibadat batin ini,
terpaksalah hati yang bertindak sebagai wadah (bekas) dicuci terlebih dahulu, agar
ilmu pengetahuan itu suci daripada sifat-sifat tercela. Ini selaras dengan sabda
Rasulullah S.A.W yang bermaksud “ditegakkan agama atas kebersihan”.

2. Pelajar hendaklah mengurangkan kesibukan dan menjauhkan dari
berkecimpung dalam urusan duniawi. Malah kalau boleh hendaklah menjauhkan diri
dari kaum keluarga dan kampung halaman.

3. Pelajar mestilah tidak mempunyai sifat sombong kepada ilmunya dan jangan sekali-kali
menentang gurunya. Seorang pelajar harus hormat dan berkhidmat kepada gurunya agar
mendapat pahala dan kemulian di sisi Allah. Dalam hal ini, seorang pelajar tidak sepatutnya hanya mahu
belajar kepada seseorang guru yang terkenal kealimannya. Hendaklah seorang
pelajar mentaati segala tunjuk ajar guru dan meninggalkan pendapat diri sendiri.
Seorang guru itu lebih berpengalaman secara lebih luas dan halus tindak-tanduknya,
meskipun pengajarannya itu dirasakan amat ganjil dan pelik tetapi sebenarnya
mempunyai faedah yang amat besar. Allah Ta’ala mengisahkan Nabi Khidir a.s. dan
Nabi Musa a.s. (al-Kahf : 67 – 70) yang bermaksud “Engkau (Musa) tidak sanggup
bersabar besertaku. Bagaimana engkau bersabar dalam persoalan yang belum
berpengalaman di dalamnya. Jika engkau mengikut aku maka jangan bertanya
sesuatu, sehingga aku sendiri akan mencerikakan kepadamu nanti”.

4. Hendaklah seorang pelajar rajin bertanya kepada guru tetapi mengenai
persoalannya yang dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh gurunya. Allah
berfirman dalam surah an-Nahl: 43 yang maksudnya “Bertanyalah kepada ahli ilmu
jika kamu tidak mengetahui”. Walau bagaimanapun dari segi adab, seseorang pelajar
tidak digalakkan untuk bertanyakan soalan yang belum sampai peringkat
pembelajaran atau pemahaman kerana ini adalah perbuatan yang dicela. Dalam
perkembangan bearkaitan, Saidina Ali r.a berkata: "Hak dari seorang yang berilmu
(guru), ialah jangan engkau banyak bertanya kepadanya! Jangan engkau paksakan
dia menjawab, jangan engkau minta bila dia malas. Jangan engkau pegang kainnya
bila dia bangun, jangan engkau siarkan rahsianya! Jangan engkau caci orang lain di
hadapannya, jangan engkau tuntut kelalaiannya! Jika dia silap terimalah
kemaafannya! Haruslah engkau memuliakan dan membesarkannya kepada Allah,
selama dia menjaga perintah Allah. Jangan engkau duduk di hadapannya! Jika dia
memerlukan sesuatu, maka ajaklah orang ramai menyegerakannya."

5. Pada peringkat permulaan, pelajar hendaklah mengelakkan diri daripada
mendengar pertentangan pendapat, iaitu daripada banyak guru, sama ada ilmu
keduniaan atau akhirat. Pertentangan pendapat-pendapat itu akan mengusutkan
fikiran, meragukan hati, melemahkan pendapatnya sendiri, mengetahui dan
mendalami ilmu pengetahuan. Walau bagaimanapun setelah meneliti dan mengikuti
satu cara sahaja atau dari seorang guru sahaja, maka kemudian dibolehkan
mendengar mazhab-mazhab atau guru-guru lain untuk mendapat penyerupaan di
antara pendapat-pendapat. Jika seorang guru itu hanya mengambil dan mengajar
ilmu dan pendapat dari satu mazhab sahaja, pelajar hendaklah berwaspada.
Menurut Imam Al-Ghazali, orang seperti ini lebih banyak menyesatkan dari
memberi petunjuk. Ini adalah kerana pengajar itu dalam keadaan cetek dan
mengenai perbahasan ilmu pelajaran.

6. Seorang pelajar itu hendaklah mempelajari semua mata pelajaran, jangan
meninggalkan sebahagian yang lain kerana hanya mahukan maksud tertentu dan
mata pelajaran yang diambilnya itu. Jika umur pelajar itu panjang, pelajarilah pula
ilmu pelajaran itu secara mendalam. Jika dirasakan telah tua dan mungkin tidak
sempat, maka pelajarilah bahagian yang lebih penting dan utama, seperti ilmu
Fardhu Ain. Pelajar hendaklah mengetahui bahawa ilmu yang paling utama ialah
“mengenal Allah Ta’ala”.
Pelajar juga hendaklah memelihara tatatertib dan susunan dalam menuntut
pelajaran. Jangan berpindah ke bahagian yang lain sebelum tamat bidang yang
sedang dipelajari, kerana sebahagian ilmu pengetahuan itu menjadi jalan untuk
mempelajari bahagian ilmu yang lain. Jangan ditinggalkan sesuatu pelajaran itu
melainkan setelah benar-benar dikuasai sama ada dari segi ilmiahnya dan juga
amalinya. Jangan mengambil kebenaran berdasarkan apa yang kamu lihat orang
melakukan, kerana tidak semua orang mengetahui seluruh ilmu pengetahuan.

Sebaliknya hendaklah pelajar itu belajar secara ilmiah untuk mencapai kebenaran.
Saidina Ali r.a berkata “Engkau tidaklah mengetahui kebenaran dari orang-orang.
Tetapi ketahuilah (pelajarilah) kebenaran itu, barulah engkau akan mengetahui
ahlinya (orang yang benar)”.
Pelajar hendaklah mengenali ilmu yang paling mulia dengan cara melihat
kepada hasilnya apabila akan membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan di
akhirat. Manakala ilmu alam akan membawa kepada kehidupan duniawi hidup
(anak). Oleh itu ilmu agama mengenai Allah AzzawaJalla, malaikat-malaikatNya,
kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan ilmu menuju kepada Allah adalah paling mulia
dan utama.
7. Pelajar hendaklah sedar bahawa tujuan belajar adalah menghiasi dan
mencantikkan hati dengan sifat-sifat keutamaan (sifat mahmudah). Jangan sekali-kali
bertujuan menuntut ilmu untuk menjadi pemimpin, memperoleh harta dan
kemegahan, melawan orang bodoh dan membangga diri. Pelajar yang sedang
mempelajari ilmu akhirat, tidak seharusnya memandang hina pelajar yang
mempelajari ilmu keduniaan, kerana mungkin ilmu keduniaan itu termasuk dalam
bidang fardhu kifayah dituntut.

Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Ismail Mahmood (1989) telah turut
mengutarakan beberapa adab belajar mengikut perspektif Islam. Menurut beliau oleh
kerana belajar sebagai salah satu tuntutan agama maka ia hendaklah didahului
dengan niat yang ikhlas iaitu semata-mata untuk menuntut keredaan Allah Ta’ala
selaras dengan hadis Rasulullah S.A.W (hadis sahih Bukhari dan Muslim) yang
bermaksud “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi
tiap-tiap seorang perkara itu dia niatkan”. Ini bermakna dalam mengejar ilmu,
seseorang pelajar itu tidak seharusnya mempunyai niat untuk mencapai tujuan-tujuan
keduniaan seperti berharta, kepimpinan, kemukaan, mengatasi kawan-kawan
yang sebaya dengannya dan juga mendapatkan pujian manusia. Firman Allah
dalam surah al-Sura: 20 yang bermaksud “Barang siapa yang mahukan hasil (pahala)
akhirat nascaya Kami tambah kepada padanya hasil dan barang siapa yang
mahukan hasil dunia nascaya Kami berikan sebahagian daripadanya dan tidak
akan ada bahagian pahala baginya di akhirat nanti”.
Dalam surah al-Asra: 18, Allah berfirman bermaksud “Barang siapa mahu
yang segera (dunia) nescaya Kami segerakan kepadanya di dunia ini mengikut apa
yang kami kehendaki iaitu kepada orang yang kami mahukan”. Sabda Rasullullah
S.A.W. seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud “Barang
siapa yang belajar ilmu yang dibuat untuk mencari wajah Allah tetapi dia
mempelajarinya bukan kerana itu bahkan kerana mendapatkan tujuan (barangan)
dunia nescaya dia tidak mendapat bauan syurga di hari kiamat”.

8. Salah satu adab belajar ialah seseorang pelajar itu tidak dibenarkan belajar
kecuali daripada guru yang sempurna keahliannya, diyakini keilmuannya dan
mashyur penjagaannya. Sesungguhnya Muhammad bin Sirim, Malik bin Anas dan
lain-lain golongan salaf telah berkata yang maksudnya “ilmu ini sebagai agama,
maka lihatlah kamu daripada siapa yang kamu akan ambil agama kamu.” (Adab-
Adab Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 43). Ini bermaksud seseorang pelajar itu
haruslah memandang kepada gurunya dengan pandangan yang hormat, percaya
dan yakin tentang kepakarannya yang sempurna dan dapat menandingi orang di
peringkatnya. Islam menganjurkan agar pelajar itu bersedekah kepada gurunya dan
sentiasa berdoakan gurunya dengan doa yang bermaksud “Wahai Tuhanku tutuplah
keaiban guruku daripada aku dan jangan hilangkan keberkatan ilmunya
daripadaku” (Adab-Adab Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 43).

Seseorang pelajar yang menghadiri sesuatu majlis ilmu hendaklah beradab
dengan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh ‘ahli-ahli’ seperti yang telah diriwayatkan
daripada Ali bin Abi Talib yang maksudnya “Di antara hak guru ke atas kamu ialah
kamu memberi salam kepada orang ramai secara umum dan kamu khususkan
baginya dengan satu salam. Kamu duduk di hadapannya, jangan mengisyaratkan
dengan tangan kamu di sisinya dan jangan mengerling dua mata kamu, jangan
kamu berkata; “Orang itu berkata berlainan dengan apa yang kamu kata. Jangan
mengumpat di hadapannya, dan jangan berbincang dengan orang yang duduk
bersamamu di dalam majlis. Jangan memegang kain apabila dia hendak bangun dan
jangan mendesakkannya apabila dia malas dan jangan berpaling dengan sebab lama
bersamanya” (Adab-Adab Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 44).

9. Selain itu pelajar hendaklah juga menutup umpatan orang lain terhadap
gurunya sekiranya dia berkuasa. Jika sekiranya dia tidak dapat menolak maka
adalah lebih baik dia meninggalkan majlis itu. Seseorang pelajar juga perlu berada
dalam keadaan bersuci, bersugi serta lapang hati daripada perkara-perkara yang
boleh menghalangnya apabila ia hendak masuk menemui gurunya. Adalah tidak
wajar bagi pelajar masuk tanpa meminta izin sekiranya gurunya itu berada di
tempat-tempat yang memerlukan kepada keizinan. Selain daripada mengucapkan
salam kepada hadirin dan mengkhususkan salam kepada gurunya ketika hendak
masuk, pelajar juga harus mengucapkan salam kepadanya dan hadirin ketika
hendak pulang. Ini dinyatakan dengan jelas dalam hadis yang maksudnya “kerana
salam yang pertama tidak lebih berhak dari salam yang kedua” (Adab-Adab
Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 45).
Jika dilihat dari sudut kedudukan tempat duduk, pelajar yang datang lewat
tidak dibenarkan melangkah tengkok atau belakang orang yang terdahulu
daripadanya. Dia hendaklah duduk di tempat yang dia boleh sampai kecuali
diizinkan oleh guru supaya ke hadapan atau dia mengetahui dari keadaan mereka
bahawa mereka (pelajar-pelajar lain) mengizinkannya. Walaupun dia diberi
keutamaan oleh pelajar lain, janganlah keadaan ini menyebabkan dia
membangunkan seseorang dari tempat duduknya kecuali ada kemuslihatan kepada
hadirin dalam mendahulukannya ataupun ada perintah daripada guru. Seseorang
pelajar juga tidak seharusnya duduk di antara dua kawan melainkan mendapat
keizinan kedua-duanya. Jika kedua-duanya melapangkan tempat duduk kepadanya
bolehlah dia duduk dan merapatkan dirinya duduk bersama.
Pelajar-pelajar juga haruslah menjaga adab dan ketenteraman majlis
berkenaan. Dia hendaklah duduk di hadapan guru sebagaimana duduk pelajarpelajar
bukan sebagai duduk guru-guru. Awasi diri agar tidak meninggikan
suaranya dengan nyaring tanpa sebab, ketawa, bermain-main dengan tangannya
dan sebagainya. Jangan berpaling ke kanan dan ke kiri tanpa sebab, bahkan
hendaklah dia berhadapan dengan gurunya. Di antara perkara-perkara lain yang
dituntut supaya diambil berat ialah tidak membaca di hadapan guru ketika
kesibukan hatinya, ketika dia jemu, ketika dia tidak tenang dan pada ketika-ketika
lain seumpamanya yang menghalangnya dari memberi penumpuan dan
menyempurnakan tugas. Pelajar hendaklah rebut peluang pada masa-masa gurunya
berada dalam keadaan yang cergas dan berupaya memberi penumpuan terhadap
pengajaran.

10. Kekasaran dan keburukan perangai gurunya hendaklah dihadapi dengan
sabar. Janganlah perkara-perkara ini menghalangnya dari mendampingi dan dari
menyakini tentang kesempurnaan gurunya. Sekiranya guru telah melakukan
kekasaran terhadapnya maka hendaklah dia meminta maaf daripada gurunya dan
melahirkan bahawa kesalahan yang sebenarnya ialah daripadanya (bukan daripada
gurunya). Hal ini adalah lebih memberi manfaat kepada dirinya di dunia dan di
akhirat serta akan menyukakan hati gurunya. Para ulama ada menyatakan
“Barang siapa yang tidak bersabar menghadapi kehinaan pengajaran nescaya
berkekalanlah umurnya didalam kejahilan dan barang siapa bersabar dengannya
nescaya pekerjaannya berakhir dengan kemuliaan akhirat dan dunia” (Adab-Adab
Berkaitan Dengan Al-Quran, 1989, hal. 47).
Adalah tidak memadai sekiranya seorang pelajar itu mendapat sedikit
sedangkan ia mampu mendapat lebih banyak. Oleh itu pelajar adalah dituntut
supaya mengambil berat tentang pelajaran serta belajar dengan tekun. Walau
bagaimanapun seorang pelajar tidak digalakkan membebankan dirinya dengan
sesuatu yang tidak mampu dilaksanakannya kerana ini akan menyebabkan dia
berasa jemu dan kehilangan apa yang telah diperoleh sebelumnya. Hal ini
bergantung kepada keadaan seseorang pelajar yang berkenaan.
Sekiranya pelajar datang ke majlis ilmu dan didapati gurunya masih belum
tiba, dia hendaklah menunggu di muka pintu. Sekiranya dia mendapati gurunya
sedang tidur atau sibuk dengan urusan penting maka janganlah dia meminta izin
untuk masuk bahkan dia hendaklah bersabar sehingga gurunya terjaga atau
sehingga lapang masanya, atau dia terus pulang. Seorang pelajar sepatutnya
sentiasa membaca hafalannya dan tidak memberi gilirannya kepada orang lain,
kerana pengutamaan kepada orang lain dalam kebaikan adalah makruh, berlainan
dengan pengutamaan dalam bahagian kelazatan diri yang digalakkan. Sekiranya
guru bermasalah dalam memberi pengutamaan lalu mengisyaratkan supaya
seseorang pelajar itu berbuat demikian, maka pelajar tersebut hendaklah
mematuhinya.

11. Pelajar tidak seharusnya berdengki dengan mana-mana pelajar dari
kalangannya atau orang-orang lain atas kelebihan yang dianugerahi Allah. Ia tidak
sepatutnya berasa hairan dengan keistimewaan yang diberikan Allah kepadanya.
Untuk menghilangkan perasaan ini dia harus mengingatkan dirinya bahawa apa
yang dihasilkannya bukanlah dihasilkan dengan usaha dan kekuatannya bahkan itu
adalah kurniaan daripada Allah. Oleh itu dia tidak sepatutnya hairan dengan
sesuatu yang bukan dijadikan olehnya bahkan perkara itu hanyalah sebagai
simpanan (wadi’ah) yang diamanahkan oleh Allah kepadanya. Perasaan dengki pula
akan hilang apabila dia mengetahui bahawa hikmat Allah menghendaki dijadikan
kelebihan itu di tempat yang dikehendakiNya. Oleh itu dia tidak sepatutnya
menentang dan tidak benci kepada hikmah yang dikehendaki dan dipersetujui oleh
Allah Ta’ala.

Adab Membaca
Salah satu kegiatan utama atau aktiviti penting di dalam belajar ialah
membaca atau mentelaah buku-buku pelajaran. Dalam hal yang berkaitan, adab
membaca al-Quran seperti yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali (disesuaikan oleh
Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi terjemahan oleh Syed Ahmad Semait)
dapat dijadikan panduan dalam menentukan adab membaca buku pelajaran.
Menurut beliau, Imam al-Ghazali menggariskan dua adab yang harus dipatuhi
ketika membaca al-Quran iaitu pertama tertib lahiriah dan kedua tertib batiniah.
Tertib-tertib lahiriah yang harus diikuti ketika membaca al-Quran adalah hendaklah
berada di dalam keadaan bersih iaitu berwuduk terus menerus dengan penuh adab
dan tenang. Dia boleh membaca secara berdiri atau duduk, tetapi sebaik-baiknya
mestilah mengadap kiblat, menundukkan kepala, tidak duduk secara bersilang kaki,
tidak bersandar ataupun duduk seperti orang-orang yang sombong (takabur). Tidak
salah membaca al-Quran tanpa berwuduk atau dalam keadaan berbaring di atas
tempat tidur, tetapi hanya akan mengurangkan pahalanya. Ini selaras dengan
firman Allah yang bermaksud dalam surah al-Imran : 191 yang bermaksud: “Mereka
yang mengingati Allah (berzikir) dalam keadaan berdiri dan duduk dan ketika
berbaring serta memikirkan tentang kejadian petala langit dan bumi”.
Pembacaan al-Quran mestilah dalam berkadar iaitu dibaca setiap hari sama
ada banyak atau sedikit. Dalam perkembangan berkaitan Usman Zaid bin Tasbit,
Ibu Massaud dan Ubai bin Ka’ab r.a. melakukan pengkhataman al-Quran pada tiaptiap
hari Jumaat dengan membahagikan pembacaannya kepada tujuh hizib
(bahagian al-Quran). Membaca al-Quran dengan talqin atau membaca dengan lagu
dan tajwid. Ini sangat dituntut kerana tujuan utamanya ialah memikirkan maksudmaksudnya.
Pembacaan sedimikian menandakan penghargaan dan penghormatan
dan akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati daripada membacanya secara
tergesa-gesa atau sambil lewa sahaja.
Menangis ketika membaca al-Quran amat dituntut kerana kehibaan di hati
memikirkan ayat-ayat yang berunsur ancaman dan kecaman serta janji-janji Allah
berserta orang-orang yang melanggar perintahnya. Dalam konteks mentelaah mata
pelajaran, kita mesti menginsafi kebesaran Allah sebagai pemilik ilmu yang mutlak.

Oleh yang demikian, hendaklah dimulai pembacaan dengan terlebih dahulu
membaca ayat al-Quran yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah yang maha
mrendengar lagi maha mengetahui daripada syaitan yang terkutuk”.
Pembacaan al-Quran hendaklah dengan suara yang rendah. Membaca
sedemikian adalah lebih selamat daripada perasaan riak dan menunjuk-nunjuk
kepada orang ramai. Namun begitu pembacaan yang nyaring adalah dituntut selagi
pembacaan itu tidak menimbulkan sifat riak dan selagi tidak mengganggu orang
lain. Memperindahkan pembacaan dan mentertibkan supaya tidak dibaca terlalu
panjang sehingga merosakkan susunannya. Di antara hadis-hadis Rasullullah S.A.W.
yang berkaitan ialah yang bermaksud “Perindahkanlah (bacaan) al-Quran dengan
suara kamu” dan “Tidak dikira dalam golongan kami, orang yang tiada
membacanya dengan suara yang baik”.

Rumusan & Kesimpulan
Ilmu sebagai komponen utama dalam pendidikan mempunyai proses-proses
tertentu. Di antara kegiatan yang terpenting ialah proses belajar dan mengajar.
Kedua-dua kegiatan tersebut adalah melibatkan pelajar atau pelajar yang
berperanan untuk menuntut ilmu di satu pihak manakala guru pula berfungsi
sebagai pembimbing dan pemberi ilmu pengetahuan di pihak yang lain. Ajaran
agama Islam sebagai panduan hidup (ad-din) seluruh umat manusia telah dilengkapi
dengan panduan-panduan yang sempurna untuk umatnya mengharungi hidup
bukan sahaja untuk kebahagiaan hidup di dunia tetapi juga untuk kebahagiaan di
akhirat. Kebahagiaan di dunia meliputi hubungan manusia sesama manusia dan
alam sementara kebahagiaan di akhirat pula adalah merangkumi hubungan
manusia dengan Allah Ta’ala.

Catatan:
Artikel ini merupakan sebahagian artikel penulis semasa mengikuti
pengajian ijazah pertama di Universiti Utara Malaysia.

Selasa, 27 April 2010

Kerja Utama Seorang Waris Nabi

Seseorang yang boleh dianggap "alim rabbani" yang merupakan waris para Nabi dan Rasul ialah mereka yang sentiasa menjaga beberapa perkara. Antaranya ialah:
1. Hendaklah sentiasa mengajar ilmu-ilmu tafsir al-Quran, Hadis, ilmu Feqah, ilmu Suluk, ilmu Aqaid berdasarkan al-Quran dan Hadis dan ilmu Nahu dan Sorof. Adalah tidak wajar bagi seorang alim rabbani menceburkan dirinya mengajar ilmu-ilmu Kalam, Mantiq dan falsafah.

2. Hendaklah sentiasa mengajar manusia cara-cara hendak suluk kepada Allah s.wt. Hendaklah dia berusaha mencari peluang atau masa yang tertentu untuk duduk menghadapi manusia sambil mencampakkan kepada mereka sakinah atau ketenangan batin.

3. Hendaklah sentiasa menjaga mereka itu dengan memberi nasihat.

4. Hendaklah sentiasa bersikap menyeru dan mengajak kepada ma'ruf dan mencegah mungkar.

5. Hendaklah sentiasa bersifat timbang rasa kepada faqir miskin dan para penuntut ilmu dengan sekadar yang mungkin.


...Petikan dari al-Qaul al-Jamil-Syahwaliyullah...

Isnin, 26 April 2010

Bagaimana Sahabah dan Tabi'in Menghasilkan Sakinah (Ketenangan Rohani)


  1. Sentiasa memelihara dan mengekalkan solat lima waktu, sentiasa bertasbih dan mensucikan Allah s.w.t. dalam bilik khalwat sambil memelihara syarat-syarat dimana hati mesti sentiasa pula ingat kepada Allah s.w.t.
  2. Sentiasa berada didalam taharah (suci) dan sentiasa ingat pula pada rosak dan binasa segala lazat-lazat duniawi. Sentiasalah pula ingatkan kepada balasan pahala yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang yang patuh serta taat dan betapa azab siksa kepada penderhaka-penderhaka. Maka dengan sebab itu hilanglah ingatan hatinya untuk menikmati lazat duniawi yang kotor dan rendah itu.
  3. Sentiasa membaca al-Quran sambil merenung, berfikir dan memerhatikan maksud-maksud ayat al-Quran itu. Selain daripada itu ialah suka mendengar syarahan atau nasihat-nasihat daripada pensyarah-pensyarah agama, suka mendengar pengajaran daripada hadis tentang mahsyar, tentang neraka dan syurga yang boleh melembutkan hati (Hadis yang bersangkut paut dengan akhirat atau ma'ad)
  • Ringkasnya para Sahabah dan Tabi'in sentiasa tekun melakukan perkara-perkara yang tersebut di atas dalam tempoh yang agak panjang. Maka lekatlah pada diri mereka suatu malakah yang baik dan rasa ketenangan diri (hening). Mereka ini sangat menjaganya sehingga ke akhir hayat mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pusaka Rasulullah s.a.w.

    Petikan daripada terjemahan kitab al-Qaul al-Jamil karangan Syah Waliyullah.

Isnin, 19 April 2010

Syarat dan Kelayakan untuk Menjadi Seorang Guru Mursyid yang boleh menerima Bai’ah Mengikut Imam Syah Waliyullah Al-Dahlawi
1. Mempunyai ilmu pengetahuan tentang kitab al-Quran dan Sunnah.

  • Bukanlah pencapaian ilmu yang terlalu tinggi, bahkan memadai dia telah belajar kitab tafsir al-Madarik (tafsir an-Nasafi) atau al-Jalalain atau kitab tafsir lain yang dipelajari secara benar dari alim ulama sehingga dia mengetahui maksud al-Quran itu. Dia juga perlu mempelajari dan mengetahui huraian ayat-ayat al-Quran yang anih (gharib), asbabun nuzul, bahasa Arab, huraian cerita-cerita dari al-Quran dan hal-hal yang berhubung dengan kisah itu.
  • Tentang Sunnah pula dia mestilah mempelajari dan memahami Sunnah itu dengan baik seperti mempelajari kitab al-Masabih ( Misykatul Masabih). Dia mestilah memahami maksud Hadis-Hadis itu serta huraian Hadis-Hadis yang anih dan ganjil (gharib), serta dapat menghuraikan kesamaran, kesulitan Hadis menurut pendapat ulama-ulama yang benar-benar memahaminya.
  • Dia tidaklah mesti meghafaz al-Quran atau mahir tentang hal-hal isnad Hadis.
  • Dia tidaklah dikehendaki terlalu mendalami ilmu-ilmu Usul dan Kalam serta cabang-cabang ilmu Feqah dan fatwa.
  • Walaubagaimanapun syarat di atas dapat dimaafkan andainya ada individu-individu yang pernah bersahabah dan mendampingi para ulamak yang muttaqin, berkhidmat serta beradab dengan mereka dalam satu tempoh masa yang agak panjang dan sentiasa pula menjaga dan mengambil berat tentang perkara halal dan haram serta sentiasa berpandu kepada kitabullah al-Quran dan Sunnah RasulNya.
2. Mempunyai sifat adil dan taqwa.
  • Untuk mencapai kedua-dua sifat ini, seseorang itu mestilah sentiasa menjauhi dosa-dosa besar dan tidak pula mengekali melakukan dosa-dosa kecil.
3. Mempunyai sifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada akhirat.
  • Sentiasa kekal melakukan amal taat yang dituntut oleh agama, sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dengan zikir-zikir yang terkenal lagi turun-temurun yang memang tersebut dalam Hadis-Hadis Sahih, dan yang paling utama hatinya hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah SWT dan sentiasa ingat dan sentiasa hadir kepada Allah atau mencapai maqam yaddasyt, sehingga ia menjadi sifat sifat yang sebati dengan dirinya.
4. Memiliki sifat sentiasa menyuruh dan mengajak kepada ma'ruf dan mencegah mungkar.
  • Sangat tegas fikiran, mempunyai pendapat sendiri dan tidak mudah terikut-ikut, tidak menyeleweng, mempunyai maruah dan kekuatan akal yang sempurna. Dengan adanya sifat ini, barulah segala apa yang dianjur dan dilarangnya akan dapat dipercayai dan boleh dipegang oleh orang lain.
5.Mestilah telah pernah bergaul, bersahabah dan berguru dengan syaikh-syaikh (guru kerohanian) dalam suatu tempoh masa yang agak panjang.
  • Dia mengambil atau meresapkan nur batin dan sakinah itu daripada guru kerohaniannya. Perkara seupama ini telah menjadi peraturan Allah SWT, dimana seseorang individu tidak akan mencapai kejayaan melainkan setelah dia melihat orang lain yang telah berjaya. Dalam hubungan ini, seseorang itu tidak akan mencapainya melainkan setelah bersahabah dengan para ulamak. Begitulah juga dalam bidang-bidang pekerjaan yang lain.

Peringatan!

Untuk menjadi pemimpin kerohanian, seseorang itu tidaklah disyaratkan:

  1. Zahirnya keramat atau perkara-perkara ajaib/pelik.
  2. Meninggalkan usaha dan ikhtiar.

Ini adalah kerana keramat dan perkara-perkara ajaib adalah kesan atau hasil mujahadah sahaja, bukanlah syarat untuk mencapai darjah kamal (kesempurnaan). Manakala meninggalkan usaha dan ikhtiar adalah bercanggah dengan syarak.